Thursday 1 October 2015

BAB 1 PART 2


1.1.2  KEDATANGAN ISLAM DI TANAH MELAYU

                     Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dipercayai bermula pada abad ke-7 masihi. Pandangan ini berdasarkan kemungkinan agama Islam disebarkan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China. Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka pada abad ke-13 Masihi. Mengikut cacatan Marco Polo, agama Islam telah tersebar di Tanah Melayu sebelum abad ke-15. 

                Pada tahun 1292, semasa Marco Polo dalam perjalanan pulang dari China, beliau telah melawat Sumatera. Perak ialah pelabuhan pertama yang disinggahinya. Beliau menyatakan pada masa itu telah wujud usaha-usaha untuk mengislamkan penduduk tempatan oleh para pedagang Arab di Nusantara. Menurut beliau lagi, itulah satu-satunya negeri Islam di Kepulauan Melayu pada masa itu (Hall dlm Ruslan Zainuddin)
                      Sepanjang tempoh abad ke-13 dan ke-16 Masihi, agama Islam telah tersebar dengan meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan mengurangkan pengaruh agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu. Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu (Ruslan Zainuddin, 2004: 91).
                      Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. 
                      Dalam bidang undang-undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka & Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu & Perlembagaan Negeri Johor. 
                    
1.1.3  KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU BARU


KERAJAAN JOHOR

            Pada 1511, apabila Melaka ditawan oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri ke Muar, Pahang dan kemudian ke Bentan.Diantara tahun 1511 hingga 1526 Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. 
            Manakala angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Pedro Mascarenhaas juga dihantar untuk menyerang Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri merentasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra dan mangkat di sana pada tahun 1528. 
            Baginda digantikan oleh puteranya Raja Ali yang bergelar Sultan Alauddin Riayat Shah II sebagai Raja Tanah Ujung dan Bentan yang kemudiannya dikenali sebagai JOHOR. Pusat pentadbirannya di Pekan Tua. Kesultanan Johor ini juga dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga". 
            Seorang lagi putera Sultan Mahmud yang bernama Raja Muzaffar kemuadiannya dirajakan di Perak dan bergelar Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak yang pertama. Pada tahun 1533 Johor menyerang Melaka tapi gagal dan pada tahun 1535 Portugis pula menyerang Pekan Tua. Sultan Johor membuka pusat pentadbiran baru di Sayong Pinang. 
             Pada 1540, Johor meluaskan jajahannya ke Aru, Bengkalis, Kampar, Jambi, Siak dan Rokan di Sumatra. Pada 1551, Johor bergabung dengan Perak, Pahang dan Jawa menyerang Melaka tetapi masih gagal. 
            Johor seterusnya menawan Acheh pada tahun 1554. Peperangan antara Johor dan Portugis di Melaka berterusan sehingga tahun 1564.Mulai 1608, Johor berkerjasama dengan Belanda yang berpengkalan di Bengkahulu (Bencoolen) bagi menyerang Melaka secara berterusan sehingga berjaya menewaskan Portugis pada tahun 1641. 
            Pada tahun 1613, Acheh yang dipimpin oleh Raja Iskandar Muda Mahkota Alam pula menyerang Johor. Ibu kota Kerajaan Johor dipindahkan pula ke Batu Sawar. Pada 1623, Batu Sawar pula dimusnahkan oleh Acheh, lalu ibu kota Johor dipindahlan pula ke Riau.  
            Pada tahun 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat (dibunuh oleh Laksamana Bentan semasa dijulang untuk ke masjid- digelar Sultan Mahmud Mangkat Dijulang). 
           Oleh kerana baginda masih bujang dan tiada pewaris, maka Bendahara Tun Abdul Jalil telah dirajakan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah. Pusat pentadbiran berpindah ke Johor Lama. 
           Pada tahun 1670, Jambi dengan bantuan Belanda pula menyerang Johor, Sultan melarikan diri ke Pahang. Pada 1673, tentera Johor yang diketuai Laksamana Tun Abdul Jamil telah mengalahkan tentera Jambi. 1718 - Raja Siak (Raja Kechil) menyerang dan menawan Johor) bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah. 1722 Raja Sulaiman (putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah) denganbantuan Bugis berjaya menewaskan Raja Kechil) dan menawan semula Kerajaan Johor. 
           Pada tahun 1802 berlaku perpecahan di kalangan pembesar-pembesar Johor, Sultan di Lingga (dikuasai pengaruh Bugis), Temenggung di Singapura/Tanah Besar dan Bendahara di Pahang. Pada 6 Feb 1819 satu perjanjian (treaty)di antara Stamford Raffles dengan Tengku Abd Rahman.
           Empayar Kesultanan Johor dibahagikan kepada dua bahagian.Kerajaan Riau di sebelah selatan diperintah oleh Sultan Abdul Rahman manakala Kerajaan Johor di sebelah utara diperintah oleh Sultan Hussein (abang Sultan Abdul Rahman).

Ø  PENTADBIRAN KERAJAAN JOHOR
·         Pada tahun 1528-1721,pusat pentadbiran kerajaan johor sentiasa berpindah-pindah   kerana berlaku serangan Portigis dan Aceh,serta berlaku pergantian sultan.
·         Pada tahun 1528 pusat pentadbiran kerajaan Johor diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah di Hulu Sungai telor,tahun 1535 berpindah ke Sayong dan tahun 1540 ke Johor Lama.Sultan Muzaffar Syah memindahkan pusat pentadbiran ke Kota Seluyut.Pusat pentadbiran dipindahkan ke Tanah Puteh oleh Sultan Ali dan kembali ke Johor Lama di Batu Sawar,akhirnya,tahun 1608berpinda ke Pasir Raja
·         Pada tahun 1623,Sultan Abdullah Muayat Syah berpindah ke Lingga apabila diserang oleh Aceh,baginda berundur  ke Pulau Tambelan dan mangkat,pengganti baginda Sultan Abdul Jalil Syah mendirikan Kota di Batu Sawar semula tetapi berpindah ke Pahang pada 1673 apabila Johor tewas di serang Jambi.
·         Baginda mangkat  pada 1677,Sultan Ibrahim mendirikan kota di Pulau Bentan.Pengganti baginda Sultan Mahmud telah dibawa bendahara ke Kota Tinggi pada 1688 dan membagunkan kotanya di sana. Sultan Mahmud berada di Kota Tinggi pada 1699,setelah dibunuh oleh Laksamana Megat Seri Rama dan baginda digelar Marhum Mangkat Dijulang.Pada 1718,kerajaan Johor diserang dan ditawan oleh Raja Kecil dari Siak.Beliau menabalkan dirinya sebagai Sultan Johor yang baharu bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah.Baginda memindahkan pusat pentadbiran dari Panchur ke Riau di Pulau Bentan.Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah berjaya dikalahkan oleh  Raja  Sulaiman.Pada 1722,Raja Sulaiman ditabalkan sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah dan bersemayam di Pulau Bentan
   
  
PERAK

                  Kesultanan Perak adalah salah satu keturunan kerajaan tertua di antara Negeri-Negeri Melayu.Ketika Kesultanan Melayu Melaka jatuh akibat serangan Portugal pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah berundur ke Kampar, Riau, dan meninggal dunia di sana dalam tahun 1528. 
                  Beliau mempunyai tiga putera, bernama Raja Alauddin Riayat Shah, Raja Mudzaffar Shah dan Raja Ahmad Shah. Yang sulung, Raja Alauddin, telah mendirikan Kesultanan Johor (Kesultanan Johor Lama), sedangkan yang kedua dijemput untuk memerintah Perak dan menjadi sultan pertama daripada wangsa Kesultanan Perak. 
                  Dengan pembunuhan raja pemerintah Kesultanan Johor Lama, Sultan Mahmud, oleh Bendahara Abdul Jalil dalam tahun 1699, berakhirlah pemerintahan waris-waris Kesultanan Melayu Melaka di negeri-negeri Melayu melainkan di negeri Perak.
                 Sultan Perak ketika ini adalah berketurunan daripada Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Siak.


                     

PAHANG

                 Negeri Pahang Darul Makmur merupakan sebuah negeri terbesar di Semenanjung Tanah Melayu. Kemasyuran dan kehebatan namanya itu pada masa dahulu, menjadi rebutan kerajaan sekeliling. 
                 Menurut kajian oleh ahli­-ahli sejarah, terdapat banyak bekas­bekas lama yang membuktikan kepandaian orang yang telah membuka negeri ini. 
                 Pada zaman dahulu, pemerintah Pahang pernah mengadakan hubungan dan menghantar ufti bunga emas ke Negara China. Menurut riwayat tua, pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja.
                 Keturunan raja-­raja Melaka adalah yang paling lama berkuasa di Pahang iaitu selama lebih 200 tahun bermula daripada Sultan Muhammad Shah (1469­1475) hingga kepada Sultan Mahmud Shah yang termasyur di dalam sejarah “Al Marhum Mangkat Dijulang” pada tahun 1699. Sebagaimana yang terkandung dalam sejarah Pahang iaitu dalam tahun 1454, Mansur Syah, putera kepada Sultan Muzaffar Melaka telah menghantar satu pasukan perang diketuai oleh Bendahara Paduka Raja melanggar Pahang. 
                 Maharaja Dewa Sura, pemerintah Siam di Pura (Pekan) melarikan diri ke Ulu Pahang. Ia ditawan oleh Seri Bija Diraja di sebuah jeram yang dikenali sekarang dengan nama Jeram Koi, Ulu Tembeling. “Maka datang sekarang ini jeram itu dinamai orang Jeram Kwai. Maka segala orang Melaka pun datang, maka Maharaja Dewa Sura pun tiada sempat lari berperahu. Maka oleh Seri Bija Diraja disuruh orang naik mengepung Maharaja Dewa Sura itu. Maka Maharaja Dewa Sura pun ditangkap orang, dibawa kepada Seri Bija Diraja. (Shellabear (ed),1977: hal 74­75) Maharaja Dewa Sura danPuterinya Wanang Seri dibawa ke Melaka. 
                 Puteri Wanang Seri di Islamkan dan diberi nama Puteri Lela Wangsa yang kemudiannya dikahwinkan dengan Sultan Mansur Syah. Mereka mendapat dua orang putera, Raja Ahmad dan Raja Muhammad.
                 Pada suatu hari, sedang beberapa orang pemuda bermain sepak raga, Raja Muhammad yang berumur lebih kurang 15 tahun sedang menunggang kuda dikawasan berhampiran. Bola sepak raga yang disepak Tun Besar, anak kepada Bendahara, telah jatuh ke atas dastar Raja Muhammad. Tanpa usul periksa, Raja Muahammad terus menghunus kerisnya, lalu membunuh Tun Besar. Sultan Mansur Syah amat murka di atas apa yang telah dilakukan oleh putera baginda. Atas sebab itu, baginda telah menghantar Raja Muhammad sebagai Raja di Pahang.
                  Raja Muhammad ditabal sebagai Sultan Muhammad lebih kurang dalam tahun 1470 dan mangkat pada tahun 1475. Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah, maka berakhirnya pemerintahan raja Melaka. Kemudian, Pahang diperintah pula oleh Sultan dari Kerajaan Johor­ Riau pada tahun 1615 dengan perlantikan Raja Bujang sebagai Sultan Johor Pahang di bawah penguasaan Acheh. 
                 Tahun 1641, penguasaan Acheh atas Pahang berakhir setelah Sultan Iskandar Thani mangkat. Tampuk pemerintahan Pahang kemudiannya beralih pula kepada pemerintahan Bendahara. Pemerintahan Bendahara bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad Ibni Almarhum Sultan Ali diisytihar sebagai Sultan. Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali,di mana kerajaan Johor­Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa IngeerisBelanda di Kepulauan Melayu. Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor. Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Korish dalam tahun 1806 telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. 
                  Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai “Perang Saudara”. Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang­hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit dan kini dikenali denagan Kampung Padang Polo. 
                    Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah b. Hasssn yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada “Bendahara” kepada “Sultan”. Atas sebab itu, pada 6hb Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12hb Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad al­ Muadzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda­anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan. Apabila Sultan Ahmad Al­Muadzam Shah mangkat pada 9hb Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diistiharkan sebagai Sultan. Baginda pula mangkat di Kuala Pahang pada malam Selasa 19hb Jun 1917 tempatnya diganti oleh adinda baginda Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al­ Mu’tasim Billah Al­Sultan Abdullah. 
                     Baginda Sultan Abdullah dikurniajkan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Muli Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan

              NEGERI SEMBILAN
                   Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding dahulu Negeri Sembilan yang asal.
                 Yang di-Pertuan Besar adalah pemerintah bersama bagi Negeri Sembilan mengikut sistem raja berperlembagaan moden bagi negeri itu sejak tahun 1898. Sebelum itu, Yang di-Pertuan Besar dikenali sebagai Yamtuan Seri Menanti dan menjadi raja memerintah di tanah jajahan adat meliputi Seri Menanti, Inas, Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol di Negeri Sembilan.
                 Permulaan perlantikan Yang di-Pertuan Besar ini berlaku pada abad ke-17 Masehi. Sebelum itu Negeri Sembilan adalah dibawah takluk Kesultanan Melayu Johor. Pada separuh pertama abad ke-17 itu, Kerajaan Melayu Johor sentiasa diancam oleh orang-orang Acheh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Ini menjadikan Kerajaan Melayu Johor tidak berupaya untuk melindungi Negeri Sembilan.
                Pada masa yang sama orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Kemboja telah memasuki Negeri Sembilan membuat huru hara dan memaksa orang-orang Negeri Sembilan keturunan Minangkabau mengakui Daeng Kemboja sebagai raja di Negeri Sembilan. Ini bertentangan dengan pendirian orang-orang Minangkabau ini.
                Satu utusan telah mengadap Sultan Johor untuk meminta supaya seorang raja dilantik di Negeri Sembilan. Bagaimanapun permintaan ini tidak dapat ditunaikan dan Sultan Johor telah membenarkan orang-orang Negeri Sembilan ini mencari anak raja dari negeri lain untuk dipertuankan di Negeri Sembilan.
                Dengan itu maka pemimpin-pemimpin setempat di Negeri Sembilan lantas menghantar wakil untuk mengadap Yang Di-Pertuan Pagar Ruyung di Tanah Minangkabau. Permintaan utusan orang Negeri Sembilan ini telah diperkenankan dan telah melantik Raja Melewarmenjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. 
               Raja Melewar telah mengetuai angkatan perang orang-orang Negeri Sembilan menghalau Daeng Kemboja dari tanah Negeri Sembilan.


SELANGOR

     Selepas kemangkatan Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau pertama (I) iaitu Paduka Sri Sultan Alauddin Ri’ayat Shah Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga pada tahun 1728, ataupun lebih dikenali dengan gelaran Daeng Merewah. Maka Baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah melantik Paduka Sri Raja Chelak Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga menjadi Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau kedua (II) bagi mengantikan kekandanya.

       Bagaimana lazimnya tanggungjawab dan peranan Yang Di-Pertuan Muda Johor-Riau adalah menjaga dan mengawal wilayah-wilayah dibawah naungan Empayar Kerajaan Johor-Riau. Sekitar tahun 1730-an, seorang Bugis yang bernama Daeng Mateko telah berbaik dengan Raja Kecil dari Siak telah mengacau ketenteraman di Selangor; Ini membuatkan Paduka Sri Raja Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau bagi mengamankan kekacauan yang tercetus. Didalam misi ini Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya lari ke Siak. Semenjak dari itu, Paduka Sri Raja Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor bagi memastikan keamanan di Selangor berterusan.
       Ketika Paduka Sri Raja Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada baginda supaya terus menetap di situ. Namun di tolak oleh baginda walau bagaimanapun, baginda telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu bergelar Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil), selepas itu baginda pun pulang ke riau bersama-sama dengan rombongan anak buah baginda yang telah datang dari riau. Tidak beberapa lama selepas meletakkan anakanda baginda sebagai Raja Kecil Jajahan Selangor di Kuala Selangor maka baginda pun mangkat pada tahun 1745. 
          Raja Lumu telah datang ke Kuala Selangor sebagaimana yang telah diperintahkan oleh ayahandanya pada tahun 1743 sebagai Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil), namun baginda tidak mendapat perkenan dari Datuk Engku Klang selaku pemimpin utama di antara empat orang datuk yang menjaga wilayah-wilayah di dalam Selangor namun akur dikala Raja Lumu mendapat pengintirafan dari Paduka Seri Sultan Perak yang mewarisi Kedaulatan Empayar Kesultanan Melaka. Datuk Engku Klang merupakan anakanda Sultan Johor bersama Puteri Mayang Selida puteri kepada Datuk Melingkar Seri Alam yang merupakan wakil yang dilantik oleh Sultan Johor untuk menjaga wilayah Klang. 

TERENGGANU

        Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.
        Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama).
         Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah 1 berkahwin dengan Raja Bulang, anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur 1 telah menghabiskan empat belas tahun (1746 - 1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus (Yang DiPertuan Kelantan), putera Long Sulaiman ibni Long Bahar menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
           Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 - 1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Muhammad ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 - 1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831 - 1837), Sultan Muhammad (1837 - 1839), Baginda Omar (1839 - 1876). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
           Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876 - 1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918 - 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 - 1942).
            Menurut Warta Cahaya Timor No.38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
            Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ismail diisythiarkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaranSultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Ismail Nasiruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 14 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang Dipertuan Muda Tengku Mizan.

KEDAH

          Perkembangan sejarah awal Negeri Kedah dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan seterusnya ke kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik.
          Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya, Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri China di sebelah timur. Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan mereka.
          Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di daerah-daerah Kubang Pasu, Kota Star danBaling. Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada pelayar-pelayar yang melalui Lautan Hindi di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley 1961 : xxvi ; Braddle 1980 ).
            Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan Semenanjung Malaysia amnya.
           Pada masa kejayaan Srivijaya, negeri ini telah dipilih sebagai ibu negeri iaitu sejak masa Sri Mara Vijayatunggavarman berdasarkan pahatan pada Larger Layden Plates sampai pada masa Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang kemudian ditawan oleh Rajendra Chola I seperti yang disebut pada batu bersurat Tanjore.
           Mengikut Hikayat Merong MahaWangsa, negeri Kedah telah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

KELANTAN
     Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.
   Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira pada tahun 1411, Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada akhir abad ke-15.
      Pada 1499, Kelantan menjadi negeri vasal Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walaubagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.
      Pada 1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19. Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.
       Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British. Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.


No comments:

Post a Comment